Search

Friday, 26 April 2013

Jika tewas "Raksasa" lah puncanya.

PERTAMA
Pimpinan Pakatan Rakyat terutamanya 'Raksasa-raksasa' politik ini harus sedar bahawa rakyat meletakan harapan setinggi gunung kepada mereka. Rakyat mahukan perubahan dan Pakatan Rakyat sahajalah alternatif yang ada pada masa kini untuk melakukan perubahan.

KEDUA
Kesepakatan Pakatan Rakyat adalah satu aset penting yang amat dicemburui musuh. Kesepakatan yang ada diantara PAS, PKR dan DAP juga adalah salah satu faktor rakyat yakin dan sanggup memberikan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat untuk meneraju Malaysia selepas 5 Mei 2013.

KETIGA
Oleh demikian, pihak Barisan Nasional akan cuba sedaya upaya untuk memecah-belahkan perpaduan yang terjalin di antara PAS, PKR dan DAP. Jika Pakatan Rakyat berpecah-belah maka untunglah Barisan Nasional. Ini kerana rakyat akan hilang harapan dan keyakinan kepada Pakatan Rakyat. Secara logiknya mereka akan berfikir "jika mereka sendiri tidak bekerjasama, bagaimana pula ingin mentadbir negara?".

KEEMPAT
Oleh demikian mereka memainkan isu hudud. Satu peluru dua sasaran. Sasaran pertama mereka ialah pengundi Melayu iaitu PAS tidak akan melaksanakan hudud kerana takut pada DAP, manakala sasaran keduanya ialah pengundi bukan Melayu iaitu PAS akan melaksanakan hudud dan ini menyebabkan pengundi bukan Melayu takut mengundi Pakatan Rakyat.

KELIMA
Maaf saya katakan, 'Raksasa-raksasa' politik ini baik dari Perlis hingga ke Gelang Patah,Johor telah termakan dengan umpan 'terbaik' dari Barisan Nasional. Maaf saya katakan 'raksasa-raksasa' ini tiada langsung strategi politik. Kenyataan mereka membawa kepada kemudaratan berbanding kebaikan tidak kira dari PAS mahupun DAP. Ini berbeza dengan pimpinan muda Pakatan Rakyat yang agak bijak dalam menangani isu ini.

KEENAM
Strategis-strategis di dalam Pakatan Rakyat diharap menasihati 'raksasa-raksasa' ini. Kerana keegoon mereka sukar dikawal. Satu persatu 'raksasa' ini muncul di media arus perdana. Ini sedikit sebanyak memberi kemenangan pengundi atas pagar kepada Barisan Nasional. (Jangan sombong berkata tiada siapa menonton TV3 dan membaca Utusan)

KETUJUH
Pakatan Rakyat harus sedar yang memberikan undi kepada mereka ialah rakyat dan mereka juga harus sedar bukan semua rakyat itu ialah ahli parti PAS/PKR/DAP. Oleh demikian, 'mood' pengundi juga boleh berubah pada bila-bila masa sahaja. Mereka boleh hilang keyakinan kepada Pakatan Rakyat kerana tiada istilah 'wala' kepada mereka untuk mewajibkan diri mengundi Pakatan Rakyat.


*Raksasa merujuk kepada mereka yang mempunyai pengaruh yang besar tetapi pada masa yang sama mereka membinasakan.

Monday, 22 April 2013

Sifar Rasisma



Pernahkah kau bayangkan
Hidup tanpa perkauman
Bangsa kita adalah umat manusia

Pernahkah kau bayangkan
Kulit hanyalah pakaian
Variasi tak perlu diskriminasi

Betapa bodohnya dunia
Xenofobia luar sedar
Tanah yang kau pijak bukan berhala
Tak perlu kau bangga

Dan semboyan patriotisma
Hanyalah sekadar propaganda
Opportunis merebut kuasa

Pernahkah kau bayangkan
Tanpa pagar dan sempadan
Bebaslah manusia di bumi bertebaran

Pernahkah kau bayangkan
Tentang kesamarataan
Betapa indah dunia sifar rasisma

Betapa bodohnya dunia
Persengketaan hanya kerana
Berbeza biologi, kultur, etnik dan agama

Tolak ultra-nasionalisma
Punca mabuk megalomania
Keldai mimpi jadi zebra

Bebaskan mentaliti
Dari indoktrinasi
Tak perlu lagi etnik chauvinis

Dunia ciptaan tuhan
Tanpa garis sempadan
Migrasi dan berasimilasi

Friday, 19 April 2013

Menuju Negara "Kafir" Selepas 5 Mei 2013?

Penulis bukanlah ahli mana-mana parti politik. Tetapi berasa terpanggil untuk menulis artikel ini untuk menjawab tomahan/fitnah yang dilemparkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan meredakan keraguan umat Islam terhadap rakan non-muslim mereka.

Ini adalah senarai persepsi/fitnah yang ditaburkan oleh pihak tertentu untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu/Islam supaya tidak mengundi parti politik tertentu sebagai (cth PR/DAP) :-

A) Kononnya hak istimewa Melayu/Bumiputera akan dihapuskan.
B) Kononnya hak dan kedaulatan Raja-raja Melayu dihapuskan
C) Kononnya Majlis Raja-raja Melayu dihapuskan
D) Kononnya Bahasa Melayu tidak lagi dijadikan sebagai bahasa kebangsaan.
E) Kononnya agama Kristian akan mengantikan agama Islam sebagai agama rasmi.

Benarkah perkara-perkara di atas yang termaktub didalam perlembagaan boleh dipinda begitu sahaja? Disini merupakan hujah untuk mematahkan hujah mereka yang mempercayai fitnah tersebut. Menurut Perlembagaan Persekutuan (undang-undang tertinggi negara), berdasarkan Perkara 159 dan 161E, perkara-perkara di atas hanya boleh di pinda melalui sokongan majorit 2/3 majoriti di Dewan Rakyat (Parlimen) dan Dewan Negara termasuklah dengan kebenaran Majlis Raja-raja.

Ini bermakna untuk meminda perkara yang dinyatakan di atas, parti tersebut perlu mendapat sekurang-kurangnya 148 sokongan di kerusi Parlimen + 39 sokongan di Dewan Negara dan perkenan Majlis Raja-raja Melayu.

Sejujurnya, ia agak mustahil bagi DAP mendapat sokongan 148 di kerusi parlimen tersebut kerana pada PRU-12 mereka hanya bertanding 47 kerusi dan memenangi 28 daripadanya.

Jika mereka memenangi 47 kesemua kerusi tersebut sekalipun, mereka masih gagal untuk mendapatkan majoriti 148 untuk meminda perlembagaan. Jika ini pun mereka tidak mampu tercapai tidak perlulah saya menceritakan langkah pindaan seterusnya iaitu 39 sokongan dari 59 dan perkenan Raja-raja Melayu, kerana ia mustahil untuk dicapai.

Tambahan pula umat Kristian hanya membentuk lebih kurang 9.2% sahaja daripada penduduk Malaysia (Berdasarkan Jabatan Statistik Malaysia, 2010), adakah masuk akal 9.2% ini mempunyai kekuatan/kuasa politik untuk menukarkan agama rasmi Malaysia?

Jika ditambah wakil non-muslim dari pembangkang dan pihak pemerintah, mereka masih jauh sekali untuk mencapai jumlah 148/222. Lihatkan, bagaimana pihak tertentu menakutkan pengundi Melayu/Islam dengan tomahan fitnah palsu. Adakah anda ingin pembodohan seperti ini terus berlaku? Jika tidak, pastikan setiap undi anda membawa padah kepada mereka.

Tuesday, 16 April 2013

Hamba Di Negara Sendiri?

“When the people fear their government, there is tyranny; 
when the government fears the people, there is liberty"

Thomas Jefferson


Sampai bila menjadi hamba kepada sistem sebegini?

Sunday, 14 April 2013

Fatwa Haram-Mengharami

Demi meraih undi Melayu/Islam, parti politik tertentu terpaksa mengunakan khidmat golongan agamawan untuk memenuhi nafsu politik mereka. Pelbagai contoh untuk dijadikan juadah kepada pembaca :-

A) Haram Menyokong Parti Politik Tertentu

Sebagai contoh, kebelakangan ini terdapat golongan agamawan yang mengeluarkan kenyataan yang penuh kontroversi iaitu haram memberi sokongan kepada parti politik tertentu. Sikap nafsu politik membuatkan parti politik ini sanggup melacurkan golongan agamawan untuk mengeluarkan kenyataan memihak kepada mereka. Kenyataan yang dikeluarkan oleh agamawan kadangkala lucu dan memualkan. Adakah ini negara monarki atau diktator dimana rakyat seolah-olah diugut pemikirannya supaya tidak mempunyai pilihan lain?

B) Haram Menjatuhkan Kerajaan

Ada pula golongan agamawan yang sangat 'lurus' sehingga mengeluarkan kenyataan haram bagi seseorang menjatuhkan kerajaan sedia ada walau dengan undi sekalipun kerana khuathir matinya di dalam Jahilliyah. Sikap ini mendapat ejekan dan perli pelbagai pihak seolah-olah proses pilihanraya tidak lagi diperlukan. Ia juga ibarat melahirkan masyarakat "Yes Bos!" walaupun umum mengetahui "Bos" anda bertindak zalim, melakukan jenayah dan etc.

C) Kafir Harbi/Kafir Zimmi

Akhir ini kecoh pula parti politik tertentu mendefinasikan parti mana diwakili oleh kafir harbi dan mana pula yang diwakili oleh zimmi. Pendefinasian ini dihurai bukan melalui kajian, tetapi melalui nafsu politik kuasa yang tidak dapat dibendung. Rakyat berugama Islam, tanpa selidik terus membuat hukuman siapa harbi dan siapa zimmi. Permainan politik yang berselindung di sebalik agama ini bukan sahaja jijik malah boleh membawa kepada konflik agama yang mampu meruntuhkan perpaduan yang telah terbina sejak sekian lama. Apakah secara tersirat ia menyeru penyokong sebuah parti politik tertentu untuk memerangi mereka yang dikatakan 'kafir harbi' ini dalam bentuk kekerasan?

Adakah agamawan ini lupa atau terlepas pandang bahawa khidmat mereka hanya digunakan sebagai boneka untuk 5 tahun sekali sahaja, tidak lebih tidak kurang.

Kelakar, setiap kali pilihanraya ada sahaja fatwa-fatwa lucu akan dikeluarkan pihak tertentu. Jangan panik, jangan gusar. Walhal selama ini, agamawan tidak pernah mendapat tempat dihati mereka dulu, kini dan selamanya.

Jika segalanya diyakini HARAM, tidak perlulah kita mendabik dada mengatakan bahawa ini negara demokrasi. Tidak perlulah kita melakukan proses undi dan tidak perlulah kita menubuhkan parti politik lain selain dari parti politik dari pemerintah. Ini kerana, segala proses ini haram dari mula hingga akhir.

Adakah anda semua mahu projek pembodohan ini berterusan?

Jika tidak, pastikan setiap undi anda membawa padah kepada mereka yang melacurkan agama untuk meraih undi.

Friday, 5 April 2013

Faktor dan Fakta Penyumbang Kejatuhan Empayar Biru?

Antaranya ialah :-

1) Media arus perdana yang berat sebelah. Walhal di negara maju, kedua-dua belah pihak harus diberikan layanan yang adil bagi menerangkan sesuatu isu. Tetapi ini tidak berlaku di Malaysia. Kebebasan media di Malaysia berada di tangga ke 145, lebih teruk dari Congo, India, Thailand, Nepal dan etc. Sila rujuk Press Freedom Index 2013*

2) Isu korupsi yang tiada kesudahannya. Tidak dinafikan korupsi berada di mana sahaja, tetapi tidak dinafikan juga ia dapat dikurangkan dengan penguatkuasaan yang tegas, amanah dan adil tanpa memilih bulu. Tidak kira apa agama, bangsa, pangkat atau darjat sekali pun, setiap individu termaktub kepada undang-undang. Persepsi indeks rasuah di Malaysia berada di tangga ke 54, bukanlah suatu angka yang boleh dibanggakan. Sila rujuk Corruption Perception Index 2012.

3) Isu rasisme yang sering dimainkan oleh ahli politik. Isu kaum ini seolah-olah tiada kesudahan. Parti politik tertentu berselindung di sebalik nama bangsa dan agama demi meraih undi dan survival parti. Adakah ini ciri-ciri negara idaman? Buluh hendaklah dilentur dari rebungnya, sama juga seperti negara pemimpin yang perkauman melahirkan generasi yang berpecah-belah, manakala pemimpin yang cinta nilai-nilai kemanusiaan akan menyemai nilai perpaduan. Tidak perlukan fakta, sekadar logik anda pasti tahu parti mana yang berselindung di sebalik nama bangsa walhal merekalah perompak harta bangsa paling besar di negara ini.

4) Isu agama sering digunakan oleh ahli-ahli politik untuk meraih undi. Mengeluarkan fatwa membabi-buta bertujuan mempecahbelahkan masyarakat. Mereka digelar penjual agama kerana mereka hanya bersuara disebelah pihak sahaja. Isu agama yang dimainkan tidak dikenakan sebarang tindakan seolah-oleh mereka kebal akan undang-undang. Percayalah asas sesebuah negara ialah perpaduan. Mereka mengeluarkan fatwa haram menentang kerajaan tetapi memejam mata terhadap isu di point 1,2 dan 3.

5) Isu keselamatan dan jenayah yang kian meruncing. Ini kerana perkara yang haram telah dihalalkan oleh point 1,2 dan 3. Penjenayah-penjenayah besar dilindungi, rakyat pula yang diburu. Tidak dinafikan, rakyat mempunyai persepsi yang agak tinggi bahawa penjenayah yang mempunyai kuasa dan wang mampu membeli apa sahaja hatta undang-undang sekalipun. Ini kerana penguatkuasaan undang-undang yang lemah. Secara persepsi masyarakat amnya masih tidak yakim akan keselamatan mereka hatta di siang hari sekali pun. Tidak dinafikan jenayah berada di mana-mana, tetapi yakin ia mampu dikurangkan dengan penguatkuasaan yang tegas, amanah dan adil.

6) Politik lucah dan aib merupaka salah satu faktor kecundangnya kerajaan sedia ada. Menyebarkan bahan lucah merupakan satu kesalahan, tetapi terdapat beberapa pihak seolah-olah kebal dari tindakan undang-undang. Politik lucah dan aib merupakan politik paling jijik untuk diketengahkan kerana yang penting ialah isu dasar, polisi dan halatuju sesebuah negara. Percayalah politik lucah dan aib tidak akan membawa Malaysia maju kehadapan tetapi beberapa tapak kebelakang. Ia bukanlah perkembangan yang sihat yang harus dibanggakan.

7) Tidak seperti negara maju dan negara demokrasi yang lain, tidak perdebatan diantara ketua kerajaan dan pembangkang diadakan. Budaya debat ini amat penting bagi rakyat memnentukan hala-tuju negara dengan menilai hujah-hujah parti politik terbabit. Tetapi ini tidak berlaku di Malaysia, sehingga hari ini, Perdana Menteri gagal untuk berdebat dengan Ketua Pembangkang tentang isu, dasar dan polisi negara. Ia menyukarkan rakyat menilai kerajaan manakah yang harus diberikan mandat dan kepercayaan.

8) Budaya politik samseng yang kian menjadi amat memalukan. Lebih memilukan, tiada sebarang tindakan undang-undang dikenakan terhadap mereka yang melakukan provokasi fizikal. Seolah-olah mereka kebal akan undang-undang. Lihatlah bagaimana kayu, batu, botol dan sebaginya dijadikan "senjata" untuk mengantikan hujah dan idea. Kelakuan samseng ini tidak ubah seperti primitif dan tidak "cool" bagi anak muda Malaysia.

9) Fitnah adalah budaya yang paling hina dan keji apabila seseorang mengeluarkan kenyataan hanya berdasarkan persepsi dan imaginasi. Tiada fakta yang dikemukakan. Kadangkala ia bersifat persepsi semata-mata yang lahir atas nama perkauman dan sebagainya.

Di atas merupakan sebahagian perkara mengapa rakyat harus menolak mereka. Kerana sifat angkuh, takbur, sombong mereka harus direhatkan di arena politik tanah air untuk sementara waktu. Sudah lebih 50 tahun, sudah tiba masanya memberikan laluan dan kepercayaan kepada yang lain pula. Ubahlah sebelum anda diubahkan.

Wednesday, 20 March 2013

Kuday Si Anak Raja!

Man Beats Man with Club by j4p4n - This originally was a political cartoon about rent gaugers or something. I thought it would work perfectly for any situation where one person unfairly abused their power over another so I synthesized it...Gila! Lelaki bernama Kuday Hassan itu gila, bukan calang-calang gila. Gilanya melebihi dari gila babi. Gila kuasa, pangkat, harta dan segalanya.
 
Di dalam kota ini siapa tidak kenal! Kuday si anak Raja. Sejak mencapai akil baligh, perangai Kuday mula berubah, dari seorang anak kecil yang periang dan peramah kepada seorang jejaka gila. Kuday tidak pernah merasa akan susah kehidupan ini kerana Kuday berasal dari keluarga kaya. Kaya harta, kaya pangkat dan kaya kuasa.

 
Nyatakan apa sahaja, pasti Kuday akan dapat segalanya. Jika tidak dapat apa yang dimahukan, paksaan akan dilakukan. Siapa tidak kenal Kuday, peragut dara anak gadis sunti di sekitar kota. Jika tidak menurut kata, nahaslah anak gadis itu akan diculik bagi memenuhi nafsunya. Bedebah kau si nafsu kuda! 

Siapa tidak kenal kau Kuday, setiap hari kau ke hulu dan ke hilir menaiki kereta mewah pemberian 'rakyat' kepada kau. Kereta yang dipandu sangat laju dan merbahaya. Pernahkah kau peduli keselamatan pengguna jalan raya yang lain? Ouh lupa, nyawa mereka tiada erti bagi kau. Rakyat adalah sampah dimata kau! Cilakalah kau Kuday.
 
Kau pembuli. Kau buli rakyat jelata kerana kau dijaga pengawal bertubuh sasa dan lengkap bersenjata. Tetapi kau lupa Kuday, cubaan bunuh dan ancaman kau terima membuktikan rakyat tidak pernah takut dengan kau walaupun kau berasal dari keluarga pemerintah. Sudahlah Kuday, kau berani kerana kau tahu, kau kebal dari undang-undang! Tidak seperti kami rakyat jelata yang termaktub kepada undang-undang. Persetankan undang-undang pilih kasih!


Kuday, usahlah kau berdusta menjadi munafik berselindung di sebalik nama agama. Tahukah kau, setiap kali kau berbicara soal agama rakyat akan mentertawakan kau! Kenapa? Kerana mereka kenal kau! Bukan niat untuk mengaibkan, tetapi ini tidak adil apabila undang-undang zina, arak, dadah hanya terpakai kepada rakyat jelata dan bukannya keluarga kau! Kau bebas melakukan apa sahaja tanpa sekatan, tidak seperti rakyat jika disabit, sebatan menanti.


Kuday, ini amaran! Padang pasir dan unta-unta diluar bukan milik kau dan kau bukanlah Tuhan. Kau pernah berkata kemewahan kau selama ini bukan pemberian Tuhan. Kuday, kau harus tahu, pembalasan itu pasti datang.

Pomm!! Boom!! Dumm!! Bunyi tembakan dan letupan bom terakhir yang menamatkan nyawa Kuday Hassan Si Anak Raja.

 
Berita kematiannya dihebahkan ke serata dunia. Hina dan keji kau diperlakukan. Saat ini harta dan kemewahaan kau tidak lagi mampu membeli nyawa. Kematian Kuday tidak diratapi rakyat jelata, tetapi di rai bagaikan pesta di seluruh negara. Bunga api dan "majlis kesyukuran".


*adaptasi cerita golongan raja di negara padang pasir

"A prince should be slow to punish, and quick to reward."
Ovid